Tjp9mgLryeJXitBMITCspm9yqHIXcaOTWeel9Pl4

Jumlah Hari Cuti Umum / Kelepasan Am / Public Holiday Termasuk Pengiraan Gaji dan OT

Post a Comment
Jumlah Hari Cuti Umum / Kelepasan Am / Public Holiday Termasuk Pengiraan Gaji dan OT | Artikel kali ini admin akan cuba mengupas persoalan-persoalan yang bermain diminda berkenaan cuti umum ataupun Hari Kelepasan Am bagi rakyat Malaysia. Sebenarnya cuti umum ataupun di dalam buku undang-undang buruh dipanggil Hari Kelepasan Am sudah lama digazetkan. Tetapi kita sebagai rakyat Malaysia ni jarang sangat yang tahu. Jika ditanya 10 orang, mungkin 1 atau 2 orang sahaja yang tahu dengan tepat jawapannya.

So mari kita lihat Hari Kelepasan am atau cuti umum ini di dalam konteks undang-undang. Admin akan kupas satu persatu berdasarkan 3 undang-undang buruh yang terpakai di Malaysia iaitu Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah Bab.67 dan Ordinan Buruh Sarawak Bab.76. Ini kerana, ketiga-tiga undang-undang ini tidak sama jumlah cutinya kerana berdasarkan adat resam dan kepelbagaian ektik sesuatu tempat atau negeri tersebut.

Jumlah Hari Cuti Umum  Kelepasan Am  Public Holiday Termasuk Pengiraan Gaji dan OT

1. Menurut Akta Kerja 1955.

Di bawah Seksyen 60D (1), Akta Kerja 1955 mengatakan, setiap pekerja adalah layak mendapat cuti umum berbayar atau hari kelepasan am pada satu-satu kalender tahun tersebut

(a) 11 hari yang digazetkan dan 5 hari wajib di ambil iaitu:-

i. Hari Kemerdekaan

ii. Hari Keputeraan YDP Agong

iii. Hari Keputeraan Raja-Raja/YDPertua Negeri atau Hari Wilayah jika pekerja bekerja di Wilayah Persekutuan

iv. Hari Pekerja

v. Hari Malaysia

Baki lagi 6 hari adalah boleh dipilih oleh majikan untuk dimasukkan ke dalam senarai cuti umum berbayar dan hendaklah dipamerkan di tempat yang boleh dilihat oleh pekerja untuk pekerja mengetahui senarai cuti umum yang diambil oleh majikannya.

Untuk 5 hari wajib di atas adalah bermakna, majikan diwajibkan mengambil hari-hari tersebut sebagai cuti umum dan ianya tidak boleh digantikan dengan hari lain. Jika tiba tarikh hari cuti umum tersebut, majikan hanya ada 2 pilihan, sama ada jika pekerja bekerja, mereka hendaklah di bayar sebagai cuti umum atau memberikan cuti kepada pekerja (tidak perlu bayar jika bergaji bulan).

(b) pada mana-mana hari yang dilantik sebagai cuti umum untuk perkara itu tahun di bawah seksyen 8 Akta Cuti 1951 [Akta 369]:

Untuk klausa (b) ini adalah cuti yang diumumkan atau diistiharkan oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri sebagai cuti umum dan majikan hendaklah menambah cuti umum ini pada tahun tersebut.


2. Menurut Ordinan Buruh Sabah Bab.67

Di bawah Seksyen 103. (1), Ordinan Buruh Sabah Bab.67 mengatakan, setiap pekerja adalah layak mendapat cuti umum berbayar atau hari kelepasan am pada satu-satu kalender tahun tersebut

(a) 11 hari yang digazetkan dan 5 hari wajib di ambil iaitu:-

i. Hari Kemerdekaan

ii. Hari Keputeraan YDP Agong

iii. Hari Keputeraan Raja-Raja/YDPertua Negeri atau Hari Wilayah jika pekerja bekerja di Wilayah Persekutuan

iv. Hari Pekerja

v. Hari Malaysia

Baki lagi 6 hari adalah boleh dipilih oleh majikan untuk dimasukkan ke dalam senarai cuti umum berbayar dan hendaklah dipamerkan ditempat yang boleh dilihat oleh pekerja untuk pekerja mengetahui senarai cuti umum yang diambil oleh majikannya.

Untuk 5 hari wajib di atas adalah bermakna, majikan diwajibkan mengambil hari tersebut sebagai cuti umum dan ianya tidak boleh digantikan dengan hari lain. Jika tiba tarikh hari cuti umum tersebut, majikan hanya ada 2 pilihan, sama ada jika pekerja bekerja, mereka hendaklah di bayar sebagai cuti umum atau memberikan cuti kepada pekerja.

(b) pada mana-mana hari yang dilantik sebagai cuti umum yang diistiharkan oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri;

Untuk klausa (b) ini adalah cuti yang diumumkan atau diistiharkan oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri sebagai cuti umum dan majikan hendaklah menambah cuti umum ini pada tahun tersebut.


3. Ordinan Buruh Sarawak Bab.76

Di bawah Seksyen 104. (1), Buruh Sarawak Bab.76 mengatakan, setiap pekerja adalah layak mendapat cuti umum berbayar atau hari kelepasan am pada satu-satu kalender tahun tersebut

(a) 18 hari yang digazetkan dan 6 hari wajib di ambil iaitu:-

i. Hari Kemerdekaan

ii. Hari Keputeraan YDP Agong

iii. Hari Keputeraan Raja-Raja/YDPertua Negeri atau Hari Wilayah jika pekerja bekerja di Wilayah Persekutuan

iv. Hari Pekerja

v. Hari Malaysia

vi. Hari Sarawak

Baki lagi 12 hari adalah boleh dipilih oleh majikan untuk dimasukkan ke dalam senarai cuti umum berbayar dan hendaklah dipamerkan ditempat yang boleh dilihat oleh pekerja untuk pekerja mengetahui senarai cuti umum yang diambil oleh majikannya.

Untuk 6 hari wajib di atas adalah bermakna, majikan diwajibkan mengambil hari tersebut sebagai cuti umum dan ianya tidak boleh digantikan dengan hari lain. Jika tiba tarikh hari cuti umum tersebut, majikan hanya ada 2 pilihan, sama ada jika pekerja bekerja, mereka hendaklah di bayar sebagai cuti umum atau memberikan cuti kepada pekerja.

(b) pada mana-mana hari yang dilantik sebagai cuti umum yang diistiharkan oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri;

Untuk klausa (b) ini adalah cuti yang diumumkan atau diistiharkan oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri sebagai cuti umum dan majikan hendaklah menambah cuti umum ini pada tahun tersebut.


Keperluan Untuk Hadir Hari Sebelum Atau Selepas Hari Kelepasan Am

Seksyen 60 D (2) Akta Kerja 1955, Seksyen 103 (4) Ordinan Buruh Sabah Bab.67 dan Seksyen 104 (4) Ordinan Buruh Sarawak Bab.76 menggariskan syarat-syarat hadir kerja sebelum atau selepas cuti umum sebelum pekerja berhak kepada cuti umum berbayar. Maksud ketidakhadiran di sini adalah tanpa kebenaran majikan (one who is away or absent without leave – AWOL) dan tanpa alasan yang munasabah.

“Mana-mana pekerja yang tidak hadir kerja pada hari kerja sebelum atau selepas hari kelepasan am atau dua atau lebih hari-hari kelepasan am berturut-turut atau mana-mana hari atau hari yang digantikan kepadanya di bawah seksyen ini tanpa kebenaran terdahulu daripada majikannya adalah tidak berhak mendapat apa-apa bayaran hari kelepasan untuk hari kelepasan tersebut atau hari-hari kelepasan terturut-turut melainkan ia mempunyai alasan munasabah bagi ketidakhadiran itu”

Jika anda sengaja PONTENG, tidak datang SEBELUM atau SELEPAS cuti umum mengakibatkan anda hilang kelayakan cuti umum tersebut.


Cuti Umum Jatuh Pada Hari Rehat Dan “Off Day”

Mengikut proviso pada Seksyen 60 D (1), jika hari kelepasan am jatuh pada hari rehat, maka kerja yang berikutnya hendaklah menjadi hari kelepasan am sebagai ganti.

“Dengan syarat bahawa jika mana-mana hari kelepasan am yang dirujuk di perenggan (a) dan (b) jatuh pada hari rehat maka hari bekerja berikut selepas sahaja hari rehat tersebut hendaklah menjadi hari kelepasan berbayar sebagai ganti untuk hari kelepasan am tersebut”


Cuti Sakit Yang Diberikan Pada Cuti Umum

Menurut Seksyen 60 D (1B) Akta Kerja 1955, Seksyen 103 (3) Ordinan Buruh Sabah Bab.67 dan Seksyen 104 (3) Ordinan Buruh Sarawak Bab.76, apabila cuti sakit bertindih dengan cuti umum, maka cuti umum ini hendaklah diganti. Namun, cuti ini tidaklah ‘automatik’ dan hendaklah diberi pada hari yang dipersetujui oleh majikan.

“Sekiranya mana-mana hari kelepasan am itu atau mana-mana hari lain yang digantikan kepadanya sebagaimana yang diperuntukkan dalam subseksyen (1) atau (1A) jatuh dalam tempoh di mana pekerja sedang dalam cuti sakit atau cuti tahunan yang mana pekerja itu berhak di bawah Akta ini, atau jatuh dalam jangka masa tempoh ketidakupayaan sementara di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952 atau di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, majikan hendaklah memberikan hari yang lain sebagai hari kelepasan berbayar sebagai ganti bagi hari kelepasan am atau hari yang digantikan itu”


Jika Bekerja Pada Cuti Umum

Jika bekerja pada hari cuti umum yang telah ditetapkan di dalam list cuti umum yang ditetapkan majikan, maka pada hari tersebut, pekerja layak menikmati kadar gaji sebagaimana di bawah:

Jika Pekerja Bergaji Bulan:

Ahmad bergaji RM1000 sebulan dan telah bekerja pada hari cuti umum.

RM1000/26 = RM38.46 sehari

RM38.46 X 2 = RM76.92

Maka Ahamad layak untuk mendapat gaji pada bulan tersebut sebanyak RM1000 + RM76.92 = RM1076.92

Untuk lebih faham, Ahmad layak mendapat gaji seperti jumlah di atas kerana telah bekerja pada satu hari cuti umum dalam bulan tersebut. 2 kali kadar gaji harinya perlu di tambah di dalam gaji bulanannya dan 1 kali kadar sudah ada di dalam gaji bulannya. Maka jika dilihat, ianya adalah 3 kali kadar untuk bayaran tersebut.


Jika Pekerja Bergaji hari:

Ali bergaji RM80 sehari dan telah bekerja pada hari cuti umum.

RM80 X 3 = RM 240

Maka Ahamad layak untuk mendapat gaji pada hari tersebut sebanyak RM240.00

Untuk lebih faham, Ali layak mendapat gaji seperti jumlah di atas kerana telah bekerja pada satu hari cuti umum dalam bulan tersebut. 2 kali kadar gaji harinya perlu di tambah di dalam gaji harinya. Dan jumlahnya adalah 3 kali kadar dari gaji hariannya.


Jika Tidak Bekerja?

Jika tidak bekerja pada hari cuti umum, maka pekerja masih layak untuk menikmati gaji daripada cuti umum ini kerana ianya cuti umum bergaji. Majikan perlu membayar kepada pekerja yang hanya pekerja bergaji harian sahaja kerana pekerja bergaji bulanan sudah ada gaji pada hari-hari cuti umum yang diambil oleh majikan.

Maka jika majikan mendapati pekerja bergaji harian yang tidak dibayar, perlulah membayar kepada mereka kerana kebanyakan majikan salah faham menafsir pekerja bergaji harian dimana mereka merasakan jika mereka tidak bekerja tiada gaji. Itu salah sama sekali. Jika ada cuti umum yang berlaku pada 11 hari yang diambil oleh majikan, maka majikan perlu membayar 1 kali kadar upah/gaji kepada pekerja bergaji hari tersebut.

Wajib bayar @ majikan ini akan dipaksa membayar tunggakan kepada semua pekerja yang tidak dibayar jika pihak Pegawai Tenaga Kerja mengesan kesalahan ini dan majikan boleh berdepan dengan kompaun tidak melebihi RM10,000 pada setiap satu kesalahan. Maka, bayar sajalah. Kalau kata ada majikan sebegini, pekerja boleh buat aduan. Rujuk sini (Pejabat Tenaga Kerja)


Soalan yang biasa ditanya mengenai cuti umum.

Q : Perdana Menteri umum cuti pada 4 September 2017 sempena kemenangan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, adakah majikan wajib ambil cuti tersebut?

A : Ya, wajib diambil dan ditambah untuk tahun tersebut berdasarkan kepada kehendak Seksyen 60D (b) di atas.


Q : Ketika kemangkatan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’Adzam Shah pada 11 September 2017, Kerajaan Kedah telah mengisytiharkan 12 September 2017 sebagai cuti kelepasan am di negeri itu. Adakah semua negeri terlibat untuk cuti tersebut?

S : Tidak, jika mana-mana kerajaan negeri yang mengisytiharkan cuti umum atau cuti kelepasan am tersebut, ianya hanya terpakai dan wajib di ambil oleh majikan di dalam negeri tersebut sahaja.


Q : Boleh atau tidak jika Perdana Menteri iaitu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang mengisytiharkan cuti umum ini untuk tarikh tertentu, majikan menyuruh pekerja untuk bekerja kerana ada masalah yang tidak boleh dielakkan?

A : Boleh, majikan mempunyai 2 pilihan iaitu membayar kepada pekerja yang bekerja pada hari tersebut mengikut kadar kiraan Cuti Umum atau mengantikan cuti tersebut pada hari yang lain dalam tahun yang sama dengan persetujuan pekerja. (ini terpakai jika majikan tersebut mengikut cuti umum yang digazetkan oleh kerajaan negeri masing-masing. Jika majikan mengikut jumlah seperti di atas, maka majikan ada pilihan untuk mengambil cuti ini atau tidak)


Jika anda ada soalan yang hendak ditanyakan, tinggalkan komen anda di bawah dan admin akan menjawabnya dengan tepat dan pantas. Terima kasih sudi membacanya, jangan lupa share.


Admin resumecontoh
Sunday - 02/10/2022
6:30am 

Related Posts

Post a Comment