Tjp9mgLryeJXitBMITCspm9yqHIXcaOTWeel9Pl4

Hak & Faedah Pekerja Separa Masa / Part-Timer

Post a Comment
Hak & Faedah Pekerja Separa Masa / Part-Timer | Pekerja separa masa atau lebih sinonim di panggil kerja part-time juga mempunyai hak dan faedah mereka tersendiri. Artikel ini ditulis untuk majikan atau pekerja separa masa ini mengetahui apakah hak yang perlu diberikan atau mereka dapat.

Semua ini ada di dalam Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010, Kaedah-Kaedah Buruh (Pekerja Separa Masa) (Sabah) 2013 dan Kaedah-Kaedah Buruh (Pekerja Separa Masa) (Sarawak) 2013. Ketiga-tiga peraturan dan kaedah ini adalah sama sahaja jumlah hak dan faedahnnya, jadi admin akan rumuskan sahaja di bawah.

Hak & Faedah Pekerja Separa Masa  Part-Timer

1. Siapakah Pekerja Separa Masa?

Seseorang pekerja yang bekerja tidak lebih daripada 70% masa kerja sebenar pekerja sepenuh masa atau pekerja biasa di tempat tersebut. Kita boleh andaikan seperti contoh di bawah:-

i. Syarikat A

Masa Kerja Biasa/Sebenar = 8 Jam

Pekerja separa masa ini tidak boleh kerja lebih 70%

Jadinya, 8 X 70 / 100 = 5.6

5.6 itu adalah 5.6 X 60 minit = 336 minit. Jadinya, waktu kerja pekerja separa masa tidak boleh melebihi 5jam 36minit sehari


ii. Syarikat B

Masa Kerja Biasa/Sebenar = 7 Jam

Pekerja separa masa ini tidak boleh kerja lebih 70%

Jadinya, 7 X 70 / 100 = 4.9

4.9 tukarkan kepada minit adalah 4.9 X 60 minit = 294 minit. Jadinya, waktu kerja pekerja separa masa tidak boleh melebihi 4 jam 54 minit sehari


2. Kadar Bayaran Ikut Jam Yang Melebihi Masa Kerja Normal

(1) Jika seseorang pekerja separa masa dikehendaki oleh majikannya untuk bekerja melebihi masa kerja normalnya, majikan hendaklah membayar pekerja separa masa itu bagi kerja tambahan itu pada kadar yang berikut:

(a) tidak kurang daripada kadar bayarannya ikut jam untuk setiap jam atau sebahagian daripadanya yang melebihi masa kerja normal bagi pekerja separa masa itu tetapi tidak melebihi masa kerja normal bagi seseorang pekerja sepenuh masa yang digajikan dalam kapasiti yang serupa dalam perusahaan yang sama; dan

(b) tidak kurang daripada satu setengah kali ganda kadar bayaran ikut jam bagi pekerja separa masa itu untuk setiap jam atau sebahagian daripadanya yang melebihi masa kerja normal bagi seseorang pekerja sepenuh masa yang digajikan dalam kapasiti yang serupa dalam perusahaan yang sama.


(2) Mana-mana majikan yang tidak membayar seseorang pekerja separa masa bagi apa-apa kerja yang telah dilakukan melebihi masa kerja normalnya mengikut kadar yang dinyatakan di bawah subkaedah (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit.



3. Hari Kelepasan / Cuti Umum

Jumlah cuti umum atau hari kelepasan am tidak sama dengan akta/ordinan induk, jumlahnya kurang sedikit:

(1) Seseorang pekerja separa masa berhak mendapat hari kelepasan berbayar pada kadar bayaran biasanya pada hari yang berikut dalam mana-mana satu tahun kalendar:


Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010
(Terpakai di Semenanjung dan Seluruh Wilayah Persekutuan)

(a) pada tidak kurang daripada tujuh hari kelepasan am yang diwartakan, empat daripadanya hendaklah

(i) Hari Kebangsaan;

(ii) Hari Ulang Tahun Yang di-Pertuan Agong;

(iii) Hari Ulang Tahun Raja atau Yang DiPertua Negeri mengikut mana-mana berkenaan

(iv) Hari Pekerja; dan

(b) pada mana-mana hari yang diisytiharkan sebagai hari kelepasan am di bawah seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am [Akta369]



Kaedah-Kaedah Buruh (Pekerja Separa Masa) (Sabah) 2013

(a) pada tidak kurang daripada sepuluh hari kelepasan am yang diwartakan, empat daripadanya hendaklah

(i) Hari Kebangsaan;

(ii) Hari Ulang Tahun Yang di-Pertuan Agong;

(iii) Hari Ulang Tahun Yang di-Pertua Negeri Sabah; dan

(iv) Hari Pekerja; dan

(b) pada mana-mana hari yang diisytiharkan sebagai hari kelepasan am di bawah seksyen 3 Ordinan Hari Kelepasan [Sabah Bab 56].



Kaedah-Kaedah Buruh (Pekerja Separa Masa) (Sarawak) 2013

(a) pada tidak kurang daripada sebelas hari kelepasan am yang diwartakan, empat daripadanya hendaklah

(i) Hari Kebangsaan;

(ii) Hari Ulang Tahun Yang di-Pertuan Agong;

(iii) Hari Ulang Tahun Yang di-Pertua Negeri Sarawak; dan

(iv) Hari Pekerja; dan

(b) pada mana-mana hari yang diisytiharkan sebagai hari kelepasan am di bawah seksyen 3 Ordinan Hari Kelepasan Am


(2) Jika mana-mana hari kelepasan am yang disebut dalam perenggan (1)(a) dan (b) jatuh pada hari rehat, hari bekerja berikutnya sebaik selepas hari rehat itu hendaklah menjadi hari kelepasan berbayar bagi menggantikan hari kelepasan am itu.


(3) Majikan hendaklah mempamerkan dengan mudah dilihat di tempat penggajian sebelum permulaan setiap tahun kalendar suatu notis yang menyatakan baki hari kelepasan am yang diwartakan yang diperuntukkan dalam perenggan (1)(a) yang berkenaan dengannya pekerja separa masanya berhak mendapat hari kelepasan berbayar di bawah perenggan itu.


4. Cuti Tahunan

(1) Seseorang pekerja separa masa berhak mendapat cuti tahunan berbayar

(a) tidak kurang daripada enam hari bagi tiap-tiap dua belas bulan perkhidmatan berterusan dengan majikan yang sama jika dia telah digajikan oleh majikan itu selama tempoh kurang daripada dua tahun;

(b) tidak kurang daripada lapan hari bagi tiap-tiap dua belas bulan perkhidmatan berterusan dengan majikan yang sama jika dia telah digajikan oleh majikan itu selama tempoh dua tahun atau lebih tetapi kurang daripada lima tahun; dan

(c) tidak kurang daripada sebelas hari bagi tiap-tiap dua belas bulan perkhidmatan berterusan dengan majikan yang sama jika dia telah digajikan oleh majikan itu selama tempoh lima tahun atau lebih.


5. Cuti Sakit

(1) Seseorang pekerja separa masa berhak mendapat cuti sakit berbayar

(a) tidak kurang daripada sepuluh hari bagi tiap-tiap dua belas bulan perkhidmatan berterusan dengan majikan yang sama jika dia telah digajikan oleh majikan itu selama tempoh kurang daripada dua tahun;

(b) tidak kurang daripada tiga belas hari bagi tiap-tiap dua belas bulan perkhidmatan berterusan dengan majikan yang sama jika dia telah digajikan oleh majikan itu selama tempoh dua tahun atau lebih tetapi kurang daripada lima tahun; dan

(c) tidak kurang daripada lima belas hari bagi tiap-tiap dua belas bulan perkhidmatan berterusan dengan majikan yang sama jika dia telah digajikan oleh majikan itu selama tempoh lima tahun atau lebih.


DOWNLOAD



ii. Kaedah-Kaedah Buruh (Pekerja Separa Masa) (Sabah) 2013


iii. Kaedah-Kaedah Buruh (Pekerja Separa Masa) (Sarawak) 2013


Untuk kaedah-kaedah buruh Sabah dan Sarawak, admin masih tak menjumpai softcopy untuk diletakkan link di sini, jika ada selepas ini, admin akan sertakan. Jika anda ada soalan hendak ditanya, bolehlah kemukakan di ruangan komen di bawah. Admin akan respon sepantas yang mampu insyaALLAH.

Admin resumecontoh
Jumaat 03/04/20
7:18 a.m

Related Posts

Post a Comment